Thursday, April 7, 2011

Pertandingan cerpen #3

Muhammad Nor Hanafi bin Sarif 
Batch 7


Kebahagiaan Bertahun-tahun

             Kata orang, “tidak rugi kita berbudi pada tanah”. Mungkin juga itulah antara sebab mengapa Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak memanfaatkan lebih 800 hektar tanah di bawah rancangan FELDA (Federal Land Development Area) atau dahulunya dikenali sebagai LKTP (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan). Di samping berbudi pada tanah, rancangan ini juga adalah salah satu langkah kerajaan untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar.

             Mengimbau sejarah lebih 30 tahun lalu, ayah adalah salah seorang rakyat bertuah yang terpilih untuk menyertai rancangan FELDA. Ayah memang memiliki pengalaman dalam bidang pertanian di mana beliaulah yang mengusahakan serelung bendang tinggalan arwah atuk sejak ayah baru berusia belasan tahun. Namun, cabaran yang menanti ayah tidak sama dengan apa yang dihadapi di bendang. Ayah yang ketika itu baru berusia awal 20-an merantau jauh ke timur untuk memulakan hidup baru bersama ibu sementara bendang dilepaskan kepada Pak Lang untuk diuruskan.

             Permulaan hidup di FELDA tidaklah semudah yang disangka. Jika di kampung, ayah menguruskan tanah sendiri dan hasilnya dinikmati sebagaimana usaha yang dikerah. Namun, di tempat baru ini, ayah terpaksa hidup dalam keadaan berhutang dengan kerajaan. Dengan diberikan sebuah rumah kayu yang tidaklah sebesar mana, dan 10 ekar tanah untuk diuruskan bersendirian, pendapatan keluarga kami ketika itu cuma RM69 sebulan. dalam kesempitan hidup, bawang, garam dan gula sekalipun terpaksa diselaraskan penggunaannya. Mujurlah bekalan beras diambil dari kampung. Kalau tidak, mungkin lebih sukar lagi hidup ketika itu.

             Untuk meringankan beban kerja ketika itu, peneroka-peneroka akan keluar bekerja di lading bersama dengan isteri masing-masing. Kebiasaannya, mereka akan menghantar anak-anak ke kampung. Namun begitu, ayah mempunyai pandangan yang berbeza. Bagi ayah, anak-anak mesti dididik oleh ibunya. Jadi, ayah berpendapat biarlah dia bersusah-payah di ladang berseorangan asalkan anak-anaknya mendapat didikan sempurna dirumah. Bagi ayah lagi, perasaan menjaga anak sendiri dan anak orang lain sangat jauh perbezaannya.

             Tahun demi tahun berlalu, pendapatan peneroka meningkat dari semasa ke semasa. Peneroka-peneroka sudah mampu memiliki motosikal. Pada ketika itu, motorsikal Honda C70 memang menjadi kegilaan ramai. Setiap petang, selepas penat bekerja dari pagi sehingga tengah hari, deretan Motorsikal Honda C70 berbaris di hadapan Kedai Kopi Pak Abbas. Tapi, ayah masih lagi dengan basikal tuanya ke sana ke mari. Bukan ayah tak mampu memiliki kenderaan berenjin yang cukup bergaya itu, cuma ayah lebih memilih untuk menyimpan bagi kegunaan anak-anaknya yang semakin membesar.

             Antara perkara yang sukar untuk diterima ialah layanan dan pandangan sebahagian besar masyarakat ketika itu kepada ayah. Ayah dilihat sebagai tiada standard dan tidak mengikut trend semasa. Pernah satu ketika ayah, dengan basikalnya melalui kumpulan bermotorsikal sedang melepak disimpang pada suatu petang. Sapaan ayah langsung tidak dihiraukan oleh mereka malah mereka terus berlalu dari situ dengan angkuh dan sombongnya. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan ayah ketika itu. Namun, ayah sedikit pun tidak menyimpan dendam dihatinya malah redha dengan perbuatan peneroka-peneroka tersebut.

             Masa terus berlalu dengan pantasnya. Sedar tak sedar, segala hutang telah habis dilangsaikan oleh peneroka. Kini, tiada lagi istilah bekerja untuk FELDA sebaliknya, mereka kini menguruskan tanah mereka sendiri seluas 10 ekar. Segala hasil ladang akan dinikmati sepenuhnya oleh mereka. Malah, kerajaan dengan baik hatinya menyediakan subsidi baja kepada semua peneroka.
  
             Ternyata, kesenangan yang dikecapi oleh peneroka-peneroka FELDA ini merupakan satu kejutan budaya atau culture shock bagi mereka. Dalam bahasa yang lebih moden, ianya dipanggil culture syok kerana dalam keadaan terkejut, mereka juga merasa seronok dengan nikmat kekayaan yang melimpah-ruah sehingga ada kisah peneroka yang sanggup membakar duit kertas untuk mencari duit syiling yang terjatuh ketika ingin membuat panggilan di pondok telefon.

             Perkara yang lebih mengecewakan ialah apabila ramai peneroka yang sudah mula lupa daratan dan mula berjudi, mengunjungi kelab-kelab malam dan dangdut, dan berbagai-bagai jenis maksiat yang lain. Di satu sudut yang lain, pecah amanah juga mula berlaku apabila yang ditugaskan mengumpul buah-buah sawit mencuri hasil dari ladang lain dan memasukkan ke dalam bahagiannya. Disebabkan itu, pergaduhan dan permusuhan kian berleluasa dalam masyarakat di tanah rancangan kami.

             Dalam kebejatan sosial di kalangan peneroka, rumah kami sering menjadi tempat mengadu bagi isteri-isteri peneroka. Ramai yang tidak tahan dengan sikap suami mereka yang gemar menjadikan isteri mereka tempat disinggahkan tangan dan kaki mereka. Ada juga yang mengadu tidak diberi nafkah oleh suami yang menghabiskan pendapatan di kedai-kedai nombor ekor dan kelab-kelab malam. Tiada apa yang ayah dan ibu mampu lakukan selain memberi semangat kepada isteri-isteri peneroka di samping ayah cuba bersemuka sendiri dengan peneroka-peneroka terbabit untuk menegur sikap mereka walaupun ayah kembali yang dimaki hamun mereka.

              Kini, generasi kedua FELDA sudah semakin dewasa. Generasi pertama sudah semakin meningkat usia dan ada juga yang sudah pergi menghadap Illahi. Berlakulah perebutan harta pusaka di kalangan anak-anak peneroka sehingga berlaku pergaduhan sesama saudara. Malah, ada yang tidak berpuas hati sanggup membawa diri jauh dari keluarga dan tidak pulang bertahun-tahun lamanya. Bagi yang masih tinggal, tidak sedikit di kalangan mereka yang terjebak dengan najis dadah. Begitulah kegawatan akhlak yang berlaku dalam masyarakat di tanah rancangan FELDA sejak dari dulu, sehinggalah sekarang.

             Namun, sebenarnya masih ramai ahli masyarakat FELDA yang baik-baik dan terjaga akhlaknya. Justeru, mengapa keburukan mereka begitu jelas dan ketara? Jawapannya kerana masyakat di sini masih mengambil berat diantara satu sama lain. Kalau diikutkan, akhlak masyarakat di bandar lebih dahsyat, cuma di sana tiada siapa yang ingin mengambil tahu apa yang dilakukan oleh ahli masyarakat di sekeliling. Yang lebih menyedihkan, ada dikalangan mereka yang langsung tidak mengenali jiran tetangga sendiri berbeza dengan budaya hidup di tanah rancangan yang semuanya mengenali diantara satu sama lain.

             Pokoknya, pesan ayah, walau dimana-mana sekalipun, didikan agama itulah yang paling penting sekali. Kalau didikan agama kita kuat, pergilah kemana-mana pun, atau berlaku perubahan yang besar kepada dunia pun, kita takkan hilang punca. Itulah sebabnya, ayah sentiasa mengutamakan didikan anak-anak sejak dari awal menjejakkan kaki ke tanah rancangan ini. Lihat sahajalah apa yang berlaku kepada anak-anak peneroka yang zaman mudanya dahulu penuh dengan keseronokan dan kemaksiatan, keluarga mereka huru-hara dan porak-peranda. Kebahagiaan yang mereka kecapi dahulu, hanyalah bersifat sementara dan sudah lenyap kini.

             Benarlah kata pepatah cina, “jika inginkan kebahagiaan setahun, semailah benih. Jika inginkan kebahagiaan sepuluh tahun, tanamlah pokok. Dan jika inginkan kebahagiaan seratus tahun, maka didiklah manusia.” Mereka telah bersusah payah berbakti kepada tanah. Memang susah untuk menjaga pokok. Perlu dibaja dan diracun rumpai-rumpai di sekelilingnya dan mereka telah menerima hasilnya-kebahagiaan selama beberapa tahun. Namun, mereka lupa bahawa mendidik manusia itu jauh lebih susah sekalipun mendidik diri sendiri. Kesusahan itulah yang dilalui oleh ayah selama bertahun-tahun sehingga akhirnya kini, ayah sudah boleh tersenyum lebih lama dari itu melihat kejayaan yang dikecapi oleh kami, anak-anaknya 

4 comments:

  1. xfaham part bakar duit kertas tu~~

    ReplyDelete
  2. waktu malam gelap...duit syiling jatuh time nak guna public phone..so masa nak carik duit, diorg bakar duit kertas untuk dapatkan cahaya..dulu lighter xdak, mancis api x lama..

    ReplyDelete
  3. pi, macam ikan pi, walaupun berada dalam laut masin, tapi manis dagingnye.. hahaha

    ReplyDelete
  4. betul tu awie...hidup jika berprinsip, tak mudah terikut budaya2 x sehat nih...heheh..

    ReplyDelete